February 11, 2019 @ 05:03 PM

Isuzu Malaysia meraikan tahun baru 2019 dengan mengekalkan kedudukan tempat pertama selama lima tahun berturut-turut, sebagai Kenderaan Komersial (CV) Pilihan Malaysia.
Pencapaian itu berdasarkan maklumat jualan keseluruhan bagi 2018 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi dan pasaran yang kian berubah, Isuzu Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai pendahulu segmen CV dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 6,036 unit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Koji Nakamura, berkata walaupun berhadapan dengan pasaran yang kian tepu, Isuzu Malaysia masih dapat melangkaui jumlah jualan jenama-jenama terkemuka, disebabkan usaha gigih daripada semua pihak yang terbabit.
“Kepuasan hati aktiviti-aktiviti pihak pengedar juga sudah bertambah baik, dengan pelbagai usaha dan pelan selepas jualan yang dilakukan, selain daripada penyediaan servis yang pantas melalui Pusat Servis Isuzu (ISC).
“Bagi mencapai sasaran 2019, Isuzu perlu bertindak lebih ‘proaktif’ dalam mengenal pasti potensi perniagaan baru,” katanya.
Nakamura berkata, pihaknya akan berusaha ke arah memastikan sokongan padu dan kerjasama yang erat di antara bahagian-bahagian utama syarikat, supaya peluang perniagaan dapat dimaksimumkan, di samping memperbaiki aktiviti-aktiviti perkembangan pengedar.
Menurutnya, strategi yang akan diketengahkan Isuzu Malaysia bagi tahun ini masih sama iaitu mengutamakan kepuasan hati pelanggan.