November 22, 2018 @ 06:54 PM

Kali ini, Honda Boon Siew memperkenalkan segmen superbike menerusi model CBR1000RR Fireblade 2019 apabila menawarkan satu lagi pilihan motosikal berkuasa tinggi jenama Honda di Malaysia.
Cantik, agresif, ringan dan penuh kuasa, CBR1000RR Fireblade baharu dijangka mengujakan pasaran jentera berkuasa tinggi menerusi pelbagai teknologi dan ciri yang mengagumkan.
CBR1000RR Fireblade baharu diinspirasikan oleh konsep Next Stage Total Control, rekaan model yang berkuasa ini mengekalkan prinsip utama iaitu 'kuasa kepada berat'.

Honda telah melihat dari setiap sudut badan dan kerangka model ini, sebelum menjadikannya sebuah superbike yang lebih aerodinamik. Dengan berat 196kg, CBR1000RR Fireblade baharu memberikan kawalan sepenuhnya kepada penunggang menerusi prestasi yang pantas dan stabil.
Jentera ini dikuasakan oleh enjin empat lejang 16 injap DOHC dengan sistem penyejukan cecair berkapasiti 999cc yang mampu menjana kuasa 189hp pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000rpm.
CBR1000RR Fireblade dilengkapi teknologi-teknologi termaju Honda seperti HSTC, Selectable Engine Brake (SEB), ABS, pilihan Quickshifter dengan Downshift Assist, Power Selector, suspensi Showa boleh laras sepenuhnya dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) untuk menawarkan tunggangan dan pengendalian luar biasa kepada penunggang.

Bagi membuatkan adrenalin peminatnya terus mengalir, CBR1000RR Fireblade didatangkan dengan Riding Mode Select System (RMSS) yang sangat mesra pengguna.
Sistem itu menawarkan tiga mod dengan kombinasi HSTC, kuasa enjin dan tahap brek enjin yang berbeza. Mode-mode itu ialah Fast untuk kegunaan di litar, mod Fun untuk jalan berselekoh dan mode Safe bagi tunggangan di bandar.
Model yang mengujakan ini juga hadir dengan dua mode USER untuk memenuhi kecenderungan seseorang penunggang di mana semua parameter boleh digabung dan diubah sesuai secara bebas.

Penunggang hanya perlu menekan butang Mod untuk menukar mod bagi RMSS dan menolaknya ke atas serta ke bawah bagi memilih dua mode USER pada sebelah kiri bar hendal.
Kombinasi prestasi luar biasa dan reka bentuk sporty superbike ini telah mengukuhkan kedudukan motosikal berkuasa tinggi Honda di pasaran tempatan.
Didatangkan dalam warna merah dan hitam metalik, CBR1000RR Fireblade baharu direka dengan gayaan yang agresif dan aerodinamik. Ia dijual RM91,999 atas jalan tidak termasuk insurans.
