August 15, 2018 @ 10:03 AM
BMW Malaysia memperkenalkan BMW i8 Coupé baharu yang menjadi satu lagi ikon jenama itu dalam mendefinisikan teknologi kenderaan Hibrid Plug-in.
Generasi terbaharu itu juga hadir dengan seni bina kenderaan LifeDrive serba baharu yang akan melengkapi kesemua model BMW i yang akan datang.
Ia menawarkan struktur berbahagi yang merangkumi casis aluminium dan sel penumpang CFRP untuk memberikan darjah kebebasan yang luar biasa bagi rekaannya.

Enjin Terbaik
Usaha BMW Group untuk merealisasikan mobiliti bervisi didorong oleh keupayaan teknologi dan ia dibuktikan sekali lagi oleh pencapaian BMW i8 yang berjaya merangkul empat kemenangan secara berturut bagi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sejak 2015.
Jentera itu menggunakan teknologi rangkaian kuasa yang canggih merangkumi motor elektrik pada gandar hadapan dan enjin pembakaran dalaman pada gandar belakang.
Kuasa enjin ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic enam kelajuan, manakala motor elektrik memacu roda hadapan melalui kotak gear automatik dua kelajuan.

Pada masa sama, ia mempunyai pusat graviti yang rendah ekoran penempatan bateri bervoltan tinggi di bahagian tengah pada bawah badan jentera ini, dan bateri tersebut mempunyai kapasiti sel bateri yang lebih tinggi, iaitu 33 Ah berbanding kapasiti terdahulu yang berjumlah 20 Ah.
Penjanaan kuasa motor elektrik itu kini ditingkatkan sebanyak 9 kW kepada 105 kW dan capaian elektrik bateri mampu mencecah pemanduan sejauh 55 kilometer.
Enjin pembakaran 3 silinder dengan pengecas turbo yang dilengkapi ciri suntikan terus dan pemasaan injap pembolehubah VALVETRONIC dapat menjana output maksimum sebanyak 231hp serta tork setinggi 320Nm.
Jika kuasa digabungkan dengan motor elektrik dan enjin, prestasinya boleh ditingkatkan kepada 374hp dan dapat memecut dari kelajuan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.4 saat, dengan penggunaan bahan bakar sebanyak 1.8 l/100km.

Rekaan Aerodinamik
Bagi reka bentuknya pula, BMW i8 Coupé baharu didatangkan dengan teknologi aerodinamik yang optimum.
Kelebihan itu dikecapi melalui kombinasi yang disumbangkan oleh kedudukan bonet rendah, sistem pengawal flap udara (air flap), ‘Air Curtains’ di bahagian apron hadapan, bawah badan kenderaan berpenutup (sealed underbody) dan skirt sisi yang berkontur.
BMW i8 Coupé Baharu juga dilengkapi roda beraloi ringan BMW i bersaiz 20 inci dengan penggayaan radial-spoke dan warna hitam.

Ruang Balaman Berkonsepkan Sporty Dan Dinamik
Ruangan dalamannya pula disinambungkan dengan rekaan progresif daripada bahagian luaran kenderaan tersebut melalui orientasi pemanduan BMW i8 klasik yang selari dengan konsep sporty dan dinamik.
Bahagian atas konsol pusat yang bersambung pada panel instrumen, melengkung ke arah pemandu pada sudut 12 darjah.
Semua elemen pengawal dan paparan terletak dalam jarak capaian yang sempurna serta mudah untuk dilihat dan dibaca oleh pemandu.
Kokpit jentera ini dilengkapi dengan Paparan Head-up BMW yang boleh bertukar ke paparan sport dan merangkumi rev enjin (rpm), gear, serta lampu penukaran gear (shift lights) apabila gear ditukar secara manual dalam mod SPORT.
Sistem Navigasi Profesional pula mempunyai pengantara muka pengguna (user interface) yang terkini, termasuk paparan ‘tile’ moden dengan mod ‘live’.

Ia dikawal menggunakan sistem operasi iDrive, yang meliputi Touch Controller di konsol pusat dan skrin Control Display bersaiz 8.8 inci.
Penambahan sentuhan futuristik di ruangan dalaman membabitkan trim Karbon CFRP ‘open-pore’ pada konsol pusat, pemegang pintu serta papan pemuka dan pengawal berseramik dengan logo i8 pada Pengawal iDrive.
Ciri BMW Connected pula menyambungkan dunia digital dengan bantuan Remote App yang membolehkan pemandu memeriksa dan mengawal kenderaan mereka.
BMW Connected menawarkan pelbagai kemudahan, ia merangkumi status pengecasan terkini yang akan ditunjukkan kepada pemandu, jarak dan masa bertolak untuk memastikan kenderaan dicas bagi perjalanan yang seterusnya, membantu pemandu mencari stesen pengecas dan menghantar lokasi stesen.
Malah ia juga dilengkapi fungsi kawalan jauh seperti Remote Door Lock & Unlock, Remote Light Flash dan Remote Horn Blow juga boleh diaktifkan.
Jika berbicara harganya, ia dijual pada harga RM1,310,800 atas jalan tidak termasuk insurans.
