January 25, 2019 @ 11:41 AM

Pengeluar kereta Mexico, VUHL bukannya antara nama popular dalam industri automotif global dan mereka sememangnya perlukan sebuah produk yang boleh menarik perhatian pemain industri.
Syarikat yang diasaskan oleh dua beradik, Guillermo dan Iker Echeverria itu kini muncul dengan satu model kereta ala trek baharu yang dinamakan sebagai VUHL 05RR.

Ini bukannya kereta sport khas untuk kegunaan trek kerana ia ada kelulusan untuk dipandu di atas jalan raya biasa.
VUHL 05RR sebenarnya adalah jelmaan evolusi daripada model VUHL 05 yang pernah muncul di acara Goodwood Speed Festival kira-kira tiga tahun lalu.

Kereta yang lebih ekstrem ini menggunakan enjin Ford Focus RS dan dikatakan mampu menjana kuasa 400hp dan mencatat masa pecutan 2.7 saat untuk pemanduan 100 kilometer sejam.
VUHL 05RR sememangnya amat ringan iaitu 660 kilogram (kg) dan ia dibantu dengan penggunaan banyak komponen gentian karbon. Ia lebih ringan 65kg berbanding VUHL 05.

Jentera ini juga menerima pembaharuan teknologi membabitkan sistem suspensi, kotak gear sequential dan beberapa peningkatan aerodinamik.
Apa yang pasti, model ini akan menjadi salah satu pilihan lain selain Ariel Atom, Caterham mahupun KTM X-Bow.