April 25, 2018 @ 09:58 AM

Suasana kabin yang mewah dan tenang adalah satu kriteria paling penting bagi pembeli kereta mewah di China.
Ini kerana kebanyakan daripada pelanggan dalam segmen itu adalah pemilik perniagaan dan tauke besar, jadi sudah tentu mereka mempunyai pemandu peribadi dan hanya duduk di belakang.

Dimiliki oleh Geely, tidak hairanlah Volvo sangat memahami akan kehendak pelanggan mereka di negara itu.
Itulah sebabnya syarikat dari Sweden itu memperkenalkan S90 Ambience Concept di acara Beijing Motor Show yang berlangsung bermula 24 April ini.

Dibangunkan berasaskan S90 Excellence dengan tiga tempat duduk yang dijual di China, kereta konsep itu menampilkan ruang dalaman yang dipertingkatkan bagi menghasilkan suasana lebih santai untuk penumpang di belakang.
Tarikan utama S90 Ambience Concept terletak di bahagian siling (headliner) di mana elemen visual memaparkan tema berbeza iaitu Scandinavian Forest, Northern Lights, Rain, Archipelago dan Swan Lake.

Selain itu, penumpang boleh memilih tema Nocturnal untuk berehat dan Freedom yang dikatakan mampu menaikkan semangat.
Ciri itu dipadankan dengan sistem audio Bowers & Wilkins yang didatangkan lengkap dengan tweeter pada bahagian perehat kepala.

Bukan itu sahaja, setiap tema yang dipilih disertakan dengan satu daripada empat pewangi yang dikeluarkan daripada konsol tengah. Pewangi terbabit direka oleh Byredo, syarikat yang menghasilkan lilin, minyak wangi serta barang kulit mewah.
Semua ciri yang ditawarkan boleh diaktifkan dengan mudah menerusi aplikasi telefon pintar. Walaupun masih berada pada tahap konsep, Volvo mengesahkan bahawa ia merancang untuk memperkenalkan ciri-ciri tersebut pada S90 Excellence di masa hadapan.