April 16, 2018 @ 02:59 PM

Dijelmakan sebagai sebuah konsep pada tahun 2014 sebelum muncul sebagai model produksi tiga tahun kemudian, T-Roc adalah tawaran terbaru dalam barisan ‘crossover’ Volkswagen.
Varian tertinggi itu menampilkan enjin 2.0 TSI yang menghasilkan 190hp dan 320Nm yang dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan pacuan empat roda 4Motion.

Dengan kemampuan untuk memecut dari 0-100km/j dalam 7.2 saat dan kelajuan maksimum 216km/j, T-Roc boleh dikatakan sudah cukup bertenaga jika dibandingkan dengan kenderaan lain dalam segmennya.
Bagaimanapun bagi ABT, enjin itu mempunyai potensi yang besar untuk dikerahkan.

Ia terbukti benar apabila firma talaan dari Jerman itu berjaya mengekstrak 20 peratus lebih banyak kuasa iaitu 228hp dan 360Nm dengan hanya menyelaras semula unit kawalan enjin (ECU).
Menurut ABT, enjin talaannya itu mampu untuk bersaing dengan enjin diesel dari segi kuasa pada julat rev rendah.

Selain itu, T-Roc menerima suspensi spring keluaran ABT yang menurunkan ketinggian kenderaan sebanyak 35mm di hadapan dan 40mm di belakang, memberikannya ia kelihata lebih agresif.
Tiada kit badan yang ditawarkan bagi model itu, namun pelanggan boleh memilih satu daripada tiga rekaan rim yang ditawarkan iaitu DR, FR dan ER-C dalam saiz 18, 19 dan 20 inci.