December 19, 2017 @ 10:56 AM

Namanya mungkin tidak segah Golf dan Beetle, namun Jetta adalah antara model kompak Volkswagen paling laris di Amerika Syarikat dengan jualan sebanyak 121,107 unit pada tahun lalu.
Lakaran rasmi dikeluarkan oleh Volkswagen itu memberikan idea tentang model generasi ketujuh yang bakal membuat kemunculan di acara Pameran Auto Detroit 2018 yang akan berlangsung pada Januari tahun hadapan.
Sekali imbas, model terbaru bukan sahaja tampil lebih segak berbanding model sedia ada, malah setanding dengan sedan-sedan eksekutif dari segmen lebih tinggi.

Muka hadapannya menampilkan jeriji lebar yang bersambung dengan lampu hadapan, sama seperti Arteon.
Profil sisi kelihatan menarik dengan reka bentuk bumbung seakan-akan kereta coupe dan garis sisi menonjol yang bersambung terus dengan lampu belakang.
Sementara itu, ekzos krom berkembar dan spoiler halus pada penutup bonet membuatkan Jetta baharu kelihatan agresif serta elegan pada masa yang sama.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang reka bentuk dalaman Jetta selain daripada kemas dan tidak berserabut.
Papan pemuka dihalakan ke arah pemandu dan apa yang kelihatan seperti paparan meter digital menunjukkan perhatian terhadap aspek pemanduan.
Laporan mengatakan bahawa Jetta baharu akan beralih ke platform MQB seperti yang digunakan pada Golf dan Tiguan.

Penggunaan platform modular itu bermakna saiznya turut bertambah sebanyak dua inci bagi panjang keseluruhan dan kira-kira satu inci bagi lebar.
Kuasa pula dibekalkan oleh enjin pengecas turbo 1.4 liter yang menjana 150hp dan 250Nm. Terdapat dua pilihan transmisi iaitu automatik lapan kelajuann dan manual enam kelajuan.