May 04, 2017 @ 02:47 PM
Pengeluar tayar dari Jepun, Bridgestone memutuskan untuk mengeluarkan dan menjual tayar tanpa angin secara besar-besaran dalam tempoh dua tahun lagi.
Syarikat itu pernah menunjukkan produk konsep tayar tanpa angin pada tahun 2011. Selepas dua tahun kemudiannya, mereka menampilkan model konsep generasi kedua.

Mengikut sejarah, tayar tanpa angin pernah diperkenalkan kira-kira 10 tahun lalu oleh Michelin. Kiranya mereka adalah syarikat pertama dunia berbuat demikian.
Kembali kepada tayar tanpa angin Bridgestone, pembalut rim itu ada keistimewaan tersendiri.
Rekaan tayar Bridgestone menggantikan tiub dalaman dan sebahagian jejari rim dengan penggunaan sokongan resin termoplastik.

Apa manfaatnya?
Pertama, tayar anda tidak akan pancit lagi. Tayar spare (simpanan) boleh dikeluarkan dari but kereta dan disimpan dalam stor. Tidak perlu angkut berat tambahan dalam kereta. Ini jimat minyak anda.
Tayar tanpa angin menggurangkan emisi karbon dioksida, malah tayar itu juga dihasilkan daripada bahan kitar semula. Memang mesra alam.
Sebagai permulaan, Bridgestone akan menawarkan tayar tanpa angin untuk penggunaan basikal. Bagaimanapun, motosikal dan kereta masih belum diputuskan.