November 23, 2016 @ 10:05 AM

Suzuki mengesahkan bahawa akan menawarkan model sportbike GSX250R edisi 2018 ke pasaran Amerika Syarikat pada bulan April tahun hadapan.
Model suku liter itu akan disediakan dalam dua pilihan warna membabitkan putih (Pearl Glacier Nebular White) dan hitam (Pearl Nebular Black).
Motosikal jenama Jepun menggunakan enjin silinder kembar SOHC 248cc dengan teknologi sistem pancitan terus. Sebagai padanan, kotak gear enam kelajuan diadun bersamanya dan mampu menjana kuasa sebanyak 24hp.

Jentera GSX250R akan menggunakan fork teleskopik dan sistem suspensi jenama KYB.
Kuasa membrek disandarkan kepada brek cakera pada kedua-dua roda. Angkup roda hadapan menggunakan angkup omboh berkembar manakala tunggal bagi roda belakang.
.jpg)
Saiz tayar hadapan dan belakang masing-masing menggunakan 110/80 serta 140/55 yang membaluti rim 10 jejari berukuran 17 inci.
Suzuki GSX250R dipasang dengan tangki minyak yang mampu menampung 15 liter petrol. Ketinggian pelananya pula adalah 790 milimeter.

Apa yang menariknya ialah model berkenaan dipasang instrumen meter LCD penuh untuk menunjukkan semua maklumat tunggangan kepada penunggang.
Tidak cukup dengan itu, Suzuki menggunakan lampu jenis LED pada lampu belakang dan lampu DRL LED pada bahagian hadapan. Bagaimanapun, harga bagi model ini masih belum diumumkan.