January 28, 2019 @ 11:21 AM

Walaupun sudah lebih 35 tahun berada di pasaran, Land Rover Defender terus diminati oleh kaki-kaki off road diseluruh dunia.
Disebabkan usianya, kebanyakan Defender yang masih berada di atas jalan raya hari ini pasti sudah sedikit sebanyak melalui proses modifikasi.
Ada yang dibaik pulih menjadi seperti sedia kala, ada yang kemampuan off-roadnya dipertingkatan dan ada juga yang mendapat nadi baharu dalam bentuk enjin V8.

Jentera yang dimaksudkan adalah ‘Spectre’ 110 Crew Cab yang dibina oleh syarikat talaan Himalaya.
Sekali imbas, ia tampak seperti mana-mana Defender yang baru keluar dari kedai aksesori, namun sebenarnya trak ini mempunyai enjin LS3 6.3-liter V8 yang diambil daripada Chevrolet Corvette.
Menurut Himalaya, enjin supercharged itu mampu menjana sehingga 525hp dan 671Nm, cukup untuk membuatkan mana-mana pemilik kereta sport berfikir dua kali sebelum mencabarnya. Kuasa tersebut disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Bagi mencerminkan jumlah kuasanya yang mengagumkan, Defender ini diberikan warna Gunmetal Grey matte.
Ia memakai tayar Toyo Open Country berukuran 37 inci dengan padanan rim Sawtooth Alloy 17 inci yang didatangkan dalam warna hitam berkilat.
Selain itu, antara kelengkapan yang disertakan secara standard adalah kit lift 4 inci dengan penyerap hentak Fox Performance dan suspensi Extreme Currie Hi-Flex.

Masuk ke bahagian dalam, pemandu akan merasai suasana mewah dan juga sporty pada masa yang sama dengan kehadiran upholsteri kulit dua tona, papan pemuka Puma, tempat duduk Recaro dan stereng Momo. Turut disertakan adalah skrin sentuh Alpine Halo dengan ciri Apple CarPlay.
Baca juga artikel berkaitan:
>> Land Rover James Bond cari pemilik baharu
>> Telefon pintar Land Rover Explore