March 02, 2018 @ 03:32 PM

Rolls-Royce akan menghasilkan 35 unit kereta edisi khas yang dinamakan sebagai Silver Ghost Collection. Koleksi itu akan dihasilkan dengan menggunakan model Ghost edisi 2018.
Firma Britain itu menghasilkan jentera berkenaan bagi memperingati rekod sejarah kembara tanpa henti sejauh 23,127 kilometer oleh pengasas Rolls-Royce iaitu Charles Rolls, Claude Johnson dan Sir Henry Royce pada 1907. Ketiga-tiga mereka memandu sebuah Silver Ghost.

Model Silver Ghost Collection edisi 2018 akan dibina di tempat asal Rolls-Royce iaitu Goodwood, West Sussex di Britain. Setiap satu unit itu akan diwarnai cat Cassiopeia Silver yang menyamai tona asal Silver Ghost.
Kerja-kerja mengecat itu mengambil masa selama 8 jam dan dilakukan oleh pakar car syarikat itu. Proses cat akan menggunakan serbuk halus logam perak tulen (100 peratus asli).

Setiap model Silver Ghost akan dipasang jeriji radiator warna hitam kilat. Logo Spirit of Ecstasy pula akan memaparkan tanda istimewa AX201 iaitu nombor plet asal Silver Ghost yang dipandu tiga pengasas dalam mencipta rekod berkenaan.
Ruang kabin diserikan dengan material kulit upholsteri Forest Green dengan kulit berwarna perak baharu pada produk berkenaan.

Konsol tengah pula ada ciri unik simpanan cermin mata hitam dan ruang aksesori dengan tulisan Silver Ghost Collection – One of Thirty-Five.
Selain elemen vintaj, model itu dilengkapi beberapa ciri teknologi moden termasuk tiga fon telinga Wi-Fi Kleer, sambungan USB dan HDMI yang ditambah baik, antena standard 4G LTE, Perkhidmatan Radio Audio Digital Satelit dan banyak lagi.
Baca juga:
>>Rolls-Royce pilih nama Cullinan untuk model terbaharunya.
>>Rolls-Royce tayang kerusi RM206,320.