March 27, 2018 @ 10:22 AM

Zenvo Automotive (Zenvo) dari Denmark membawa sebuah model hipercar baharu iaitu Zenvo TSR-S menemui peminat automotif di Pameran Motor Geneva, baru-baru ini.
Hypercar itu akan ditempatkan di antara dua model sedia ada iaitu TS1 GT dan jentera litar, TSR.
Dimudahkan cerita, TSR-S sebenarnya adalah model untuk kegunaan atas jalan raya versi TSR. Zenvo akan membina lima unit TSR-S setahun.
Jentera ini agak istimewa kerana pemandu boleh mengubah tetapan prestasi TSR-S termasuk output kuasa secara manual.
Malah kotak gear TSR-S didatangkan dengan dua tetapan yang boleh ditukar dari kotak gear standard kepada tetapan mekanikal anjakan langsung gaya perlumbaan.
Tenaga pakar Zenvo nampaknya ada melakukan kejuruteraan dan rekaan semula pada TSR-S untuk mengoptimumkan aspek aerodinamiknya.
Mereka memasang spoiler belakang aktif yang boleh bergerak-gerak. Pergerakannya membantu melancarkan aliran udara, meningkatkan kestabilan dan meningkatkan tekanan ke bawah (downforce).

Spoiler aktif
Jika anda belok kiri, spoiler aktif juga akan naik pada bahagian kiri. Begitu sebaliknya.
Spoiler itu juga boleh bergerak ke hadapan dan belakang untuk membantu tekanan kuasa membrek. Secara ringkas, brek angin.
Spoiler aktif itu dinamakan sebagai Zenvo Centripetal Wing dan memberi kelebihan kestabilan ketika melayan kawasan selekoh ketika pemanduan berkelajuan tinggi.
Selain itu, ‘splitter’ hadapan baharu pada model ini menyumbang kepada downforce lebih baik.
Bampar baharu dengan bolong angin untuk roda hadapan akan menyalurkan angin terus ke intercooler.
Bolong angin pada masa sama menarik angin dari bahagian hadapan jentera untuk meningkatkan downforce dan mengurangkan kesan seretan.
Bahagian belakang jentera itu ada lubang udara gaya LMP1, peresap baharu dan spoiler aktif. Peresap belakang menyalurkan angin keluar dari bawah kereta sekali gus meningkatkan kestabilan tayar belakang.
Hypercar Zenvo dibina daripada material gentian karbon ringan dan bahan campuran lain. Kualiti kejuruteraan jenama ini sudah memenangi kepercayaan penggemar automotif dunia.

Tiga tetapan enjin
Tetapan enjin TSR-S ada tiga iaitu Minimum (700bhp), IQ, dan Maximum (1,177bhp). Tetapan IQ adalah tetapan automasi yang menyediakan karakter pemanduan kereta lumba untuk jalan biasa.
Kotak gear 7 kelajuan jenis ‘paddle shift’ boleh diubah dari gaya standard kepada operasi transmisi perlumbaan.
Pilihan kotak gear perlumbaan menjadikannya brutal di mana menyaksikan penukaran mekanikal terpantas. Jika mode standard, penukaran gear adalah melalui bantuan elektronik dan sensor.
Lampu hadapan TSR-S adalah rekaan baharu dengan dwiLED dan lampu DRL serta isyarat membelok. Lampu belakang turut dikecilkan untuk mengurangkan berat jentera.
Badan kereta dua pintu dua tempat duduk diperbuat daripada gentian karbon, manakan bahagian casis menggunakan keluli ringan dan aluminium.
Enjinnya ialah 5.8 liter V8 dengan pengecas lampau (supercharger) yang boleh menjana kuasa maksimum 1,177 bhp.
Kelajuan maksimum ialah 325 kilometer sejam (km/j). Pecutan dari titik pegun ke 100km/j mengambil masa selama 2.8 saat. Harga pula tidak didedahkan.