September 08, 2017 @ 08:31 AM
Sebuah pengedar kereta Nissan di Texas, Amerika Syarikat menjadi popular selepas mengumumkan penjualan seunit kereta terpakai 350Z.
Semua orang tahu Nissan 350Z ini bukannya suatu model rare atau ‘hot’ masa kini. Tetapi, unit yang ditawarkan oleh Don Davis Auto Group (Don Davis Nissan) itu ada signifikannya.

Mereka percaya ini adalah unit pertama produksi Nissan 350Z yang dihasilkan pada akhir tahun 2002.
Berdasarkan maklumat dipamerkan penjual itu, nombor VIN JN1AZ34E13T000001 mengesahkan kebenaran status kereta itu.

Dikelaskan sebagai kereta terpakai, jentera berwarna perak ini hanya dipandu sejauh 173 batu (278 kilometer). Khabarnya ia pernah bertukar tangan sekurang-kurangnya dua kali sepanjang tempoh itu.
350Z ini dipasang enjin V6 3.5 liter yang membekalkan kuasa 280hp. Jentera ini mampu pecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 5.9 saat. Beratnya tidak kurang hebat juga iaitu 1.5 tan.

Model ini dipasang sistem pendingin hawa dua zon, sistem brek brembo, ruang kabin dibaluti material kulit, ada sistem navigasi dan sistem audio Bose.
Harga dipinta ialah AS$48,500 (RM204,200).

Sumber: Don Davis Nissan.