February 22, 2017 @ 09:10 AM

Bagi meraikan ulang tahun ke-80 jenama Mopar, sebuah model edisi khas dibina bagi memperingati sambutan itu.
Ia dinamakan sebagai Mopar '17 Dodge Challenger. Mopar mengambil kereta standard Dodge Challenger R/T 392 untuk ditransformasikan menjadi '17 Dodge Challenger.
Mopar '17 Dodge Challenger juga dipasang dengan komponen dan aksesori berprestasi Mopar, kit pemilik eksklusif serta lencana nombor siri.

Melihat dari luaran, kereta dua tona ini dipasang bonet daripada Shaker Hood. Dibawahnya menempatkan sebuah enjin 392 HEMI 6.4 liter yang disambungkan kepada transmisi manual enam kelajuan.
Hasilnya, kuasa sebanyak 485hp dan tork setinggi 644Nm mampu diekstrak daripada jentera ini. Bagi memperlahankan dan menghentikannya, Mopar memilih brek cakera empat omboh dari Brembo.

Selain itu, satu lencana nombor siri dipasang di bawah bonet menandakan ia kereta ulang tahun ke-80.
Jika diperhati pada bahagian lampu utama, Mopar sudah memasang sistem dan komponen untuk menyedut serta menyalurkan udara sejuk ke kawasan enjin.
Melangkah dan membuka pintu kereta, anda akan melihati sulaman logo Mopar berwarna Tungsten (kelabu) pada bahagian tempat duduk.

Benang kelabu pula digunakan untuk jahitan kerusi, panel pintu dan beberapa bahagian lain dalam kabin sebagai padanan kepada logo sulaman berkenaan.
Rim yang digunakan ialah jenis aluminium berukuran 20 x 9 inci. Muncung ekzos standard krom dibuang dan digantikan dengan jenis Dodge Challenger SRT Hellcat hitam.
Mopar '17 Dodge Challenger disaluti tona dua warna kutom dan sebuah logo istimewa Mopar 392 pada kereta itu juga akan dicat menggunakan tangan oleh pekerja di Mopar Custom Shop.

Hanya dua warna kustom cat tangan khas ditawarkan iaitu hitam biru dan hitam perak. Setiap satu warna itu pula dihadkan kepada 80 unit sahaja.
Apa yang menariknya, Mopar '17 Dodge Challenger juga tersenarai sebagai model eksklusif ke-8 keluaran syarikat itu. Pendek kata, kereta modifikasi dari kilang terus kepada pemilik.
Sebelum ini, tujuh model lain ialah Mopar '10 Challenger, Mopar '11 Charger, Mopar '12 300, Mopar '13 Dart, Mopar '14 Challenger, Mopar '15 Dodge Charger R/T dan Mopar '16 Ram Rebel.

Kereta ini akan dijual di Amerika Syarikat dan Kanada pada harga anggaran AS$55,790 (RM248,181). Harga ini belum dikira cukai serta caj lain.
Mopar '17 Dodge Challenger akan tiba di bilik pameran pengedar pada awal suku kedua tahun ini.