October 26, 2016 @ 11:15 AM

Akhirnya Mercedes-Benz mempertontonkan model konsep trak pikap pertamanya menerusi X-Class. Trak pikap dalam kategori premium hadir dua varian yang ditugaskan pemanduan bandar atau lasak dengan masing-masing dikenali Stylish Explorer (kanan gambar di atas) serta Powerful Adventurer (kiri gambar di atas).
Seperti yang dihebohkan sebelum ini, X-Class dibina selepas pengeluar automotif Jerman itu menjalani kolaborasi dengan Renault-Nissan Alliance yang menggunakan platform Nissan NP300 Navara atau Renault Alaskan. Namun, X-Class membawa imej Mercedes-Benz yang sebenar membabitkan rekaan, pemanduan keselesaan dinamik dan lengkap ciri keselamatan terkini.
Bagi membina trak pikap itu, Daimler AG sanggup membuat pelaburan besar sehingga mencecah billion Euro sebelum mula dipasarkan pada akhir 2017 ini. Bagaimanapun, Asean termasuk Malaysia bukannya pasaran utamanya. Buat permulaan ia akan dipasarkan di Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Australia, New Zealand dan Eropah.
Secara luaranya, bentuknya masih lagi menyamai Nissan NP300 Navara tetapi rekaannya lebih garang dengan menerapkan warisan Mercedes-Benz yang lain. Ia boleh dilhat pada bahagian hadapan terutama jeriji serta perumah lampu utamanya.
Bahagian belakangnya, ia mungkin menjadi trak pikap pertama yang menggunakan perumah lampu mengelilingi pada bahagian penutupnya.

Bagi jenama premium itu, keselesaan menjadi keutamaan dan ia boleh dilihat menerusi ruang kabin X-Class. Ruang kabin trak pikap itu menerima gabungan dua model iaitu C-Class dan V-Class yang menggunakan material berkualiti tinggi, ditawarkan sistem hiburan terkini serta tempat duduk ergonomik.
Penampilannya dalamaan menerima padanan warna berbeza bagi menyesuaikan konsep varian Stylish Explorer atau Powerful Adventurer.
X-Class itu juga sempurna untuk persekitaran bandar selepas sistem suspensi dibina khas dengan gandar luas, manakala gandar lima-link pada bahagian belakang memberi memastikan keselesaan di jalan raya biasa atau laluan lasak. Pada masa sama, pengendaliannya ditala lebih tepat, pemanduan yang selesa dan responsif di selekoh.
Buat masa ini, rangkaian kuasanya hanya didedahkan bagi model tertinggi dengan menggunakan enjin V6 diesel pacuan semua roda 4Matic yang difahamkan ia akan menyalurkan kuasa maksimum sehingga 258hp dengan tork setinggi 620 Nm.
Biarpun ia sebuah trak pikap premium, keupayaannya sememangnya di luar batasan selepas mampu membawa muatan melebihi 1.1 tan dengan kapasiti menunda sehingga 3.5 tan.

Seperti kebiasaan bagi mode Mercedes-Benz lain, pelanggan daripada X-Class boleh memilih komponen yang berbeza untuk menyesuaikan bahagian luar dan dalam bagi kenderaan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Daimler AG dan Ketua Mercedes-Benz Cars, Dr Dieter Zetsche berkata, trak pikap itu akan menutup satu jurang dalam portfolio syarikatnya.
Menurutnya, sasaran syarikat mahu menawarkan kenderaan yang sepadan dengan keperluan pelanggan, selain X-Class akan menetapkan standard baru dalam segmennya yang semakin meningkat.