November 28, 2018 @ 08:02 AM

Hari Lamborghini Jepun 2018 yang diadakan di studio terkemuka Yokohama Super Factory di Jepun baru-baru ini berjaya menghimpunkan lebih 200 pemilik jentera supercar itu.
Malah acara himpunan kenderaan bernilai jutaan dolar itu turut dihadiri Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Automobili Lamborghini, Stefano Domenicali dan Duta Itali ke Jepun, Giorgio Starace.
Acara signifikan itu turut menyaksikan debut rantau Asia Pasific bagi model Lamborghini Aventador SVJ. Sebelum ini, jentera terbaharu Lamborghini itu dipertontonkan di Pebble Beach Concours d’Elegance.

Baca juga >> Lamborghini Huracan Super Trofeo Evo hanya tawar 10 unit
Lamborghini Aventador SVJ pada awal tahun ini menetapkan rekod pusingan lap baharu untuk kereta produksi di Litar Nurburgring-Nordschleife dengan catatan masa 6:44.97 minit.
Stefano Domenicali menyatakan Jepun adalah pasaran penting bagi Lamborghini dan pihaknya kerap berhubung dengan pelanggan-pelanggan di situ untuk memastikan mereka dapat membina kekuatan di pasaran negara berkenaan.
Buat masa ini, Lamborghini mempunyai sebanyak sembilan pusat pameran dan pengedar dengan premis terbaharunya didirikan di Sendai.

Baca juga >> Lamborghini Aventador SVJ - kenderaan produksi paling pantas di litar Nurburgring
Himpunan kereta mewah itu kemudiannya dipandu secara konvoi di sekitar pusat bandar Yokohama termasuk di Minato Mirai, Yokohama Red Brick Warehouse dan Taman Yamashita.
Antara model yang menyertai konvoi itu ialah Miura, Contach, LM002, Urus, Aventador S dan Huracan.