March 28, 2018 @ 09:07 AM

Bila menyebut mengenai rekaan kenderaan menawan, Lamborghini adalah antara jenama Itali yang mempunyai kepakaran 'aras tinggi' dalam bidang itu.
Terbaharu, firma automotif itu muncul bersama satu lagi model konsep signifikan yang dinamakan sebagai Terzo Millennio. Ia sebenarnya bermaksud Milenium Ketiga.
Model hypercar elektrik itu dihasilkan menerusi kerjasama antara Lamborghini dengan Massachusetts Institute of Technology, yang mana mereka mahu mengubah konsep kereta elektrik masa hadapan.
Terzo Millennio adalah pandangan dan tafsiran Lamborghini terhadap masa hadapan automotif. Melihat pada rekaan jentera konsep itu, ia seperti dalam filem sains fiksyen. Macam kapal angkasa.

Memiliki wajah hadapan yang agresif
Lamborghini Terzo Millennio memiliki wajah hadapan yang agresif ditambah pula splitter hadapan berkembar dan cermin keseluruhan jentera seperti sebuah jet pejuang.
Badan kereta pula diperbuat daripada gentian karbon berteknologi tinggi di mana ia dikatakan berupaya menghentikan kesan retak serta memulihkan secara sendiri.
Selain itu, badan kereta dikatakan mampu menjana tenaga dan berperanan sebagai sistem penstoran kuasa itu. Suatu perkara yang diluar jangkaan dalam dunia automotif.
Dikhabarkan bahawa ada empat unit motor elektrik akan dipasang pada keempat-empat roda. Sama ada model ini akan dihasilkan suatu hari nanti, ia masih menjadi tanda tanya.
Sumber: Lamborghini