September 21, 2017 @ 02:59 PM
Lamborghini Squadra Corse, jabatan sukan permotoran Lamborghini melancarkan Huracan Super Trofeo EVO pada acara eksklusif di Sant Agata, Bolognese, baru-baru ini.
Perbezaan dengan model Huracan biasa, ia direka untuk memberi daya aerodinamik dan kestabilan yang lebih baik.

Bagi mencapai matlamat itu, Lamborghini Squadra Corse bekerjasama dengan Dallara Engineering untuk membangunkan kit badan gentian karbon baharu untuk meningkatkan kestabilan dan juga mengurangkan seretan.
Perubahannya agak dramatik boleh dilihat pada spoiler belakang dan sirip bahagian atas. Difahamkan, sirip di bahagian atas itu bagi membuatkan kenderaan kekal stabil dan kekal lurus pada kelajuan tinggi.

Pada masa sama, kit aerodinamik itu menawarkan Huracan Super Trofeo EVO memiliki daya rintangan kurang lapan peratus daripada pendahulunya.
Sementara itu, rangkaian kuasanya pula dijana enjin V10 berkapasiti 5.2 liter yang menghamburkan 620 PS.

Kuasa berkenaan disalurkan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan mampu memecut sehingga 280 kilometer sejam (km/j)
Pelancaran jentera itu juga dibuat sempena menyambut hasil kerjasama antara Lamborghini Squadra Corse dengan pengeluar jam tangan mewah, Roger Dubuis yang bermula tahun hadapan.
Kedua-dua jenama itu berkongsi kepentingan sama iaitu mengejar keunggulan berterusan dan mencari bahan yang inovatif.

Baca juga:
Huracan Super Trofeo EVO akan membuat debut secara rasmi pada musim bunga tahun hadapan. Harga jentera itu bermula Euro 235,000 (RM1.17 juta) di Eropah dan Asia, manakala dan USD295,000 (RM1.24 juta) di Amerika Syarikat.