August 10, 2018 @ 10:42 AM
Seorang pelancong Britain telah mengumpul 33 saman kesalahan trafik dalam tempoh kurang daripada empat jam di Dubai, menurut portal berita thenational.ae.
Pelancong berumur 25 tahun itu, Farah Hashi dilaporkan memandu Lamborghini Huracan berwarna kuning melebihi had laju hampir dua kali ganda yang dibenarkan di kota Dubai.
Rekod Polis Dubai menunjukkan bahawa lelaki itu merekodkan 33 kesalahan melebihi had laju dengan purata kelajuan pemanduan antara 126 kilometer sejam (km/j) sehingga 230km/j.
Dia melakukan kesalahan pecutan 'luar biasa' itu sebanyak 32 kali di Jalan Sheikh Zayed dan sekali di Jalan Garn Al Sabkha.
Jumlah nilai saman yang dicampur dengan kos untuk menuntut semula Lamborghini itu daripada gudang simpanan polis ialah sekitar 175,000 AED (kira-kira RM194,207).

Lebih menghangatkan keadaan, kereta itu bukan miliknya tetapi disewa selama dua hari daripada sebuah syarikat kereta sewa iaitu Saeed Ali Rent a Car.
Pelancong yang menginap di Hotel dan Resort Five Palm Jumeirah di Dubai itu membayar kos sewa dua hari sebanyak 6,000 AED (anggaran RM6,660) dan meninggalkan paspot sebagai jaminan.
Menurut laporan portal itu, sebahagian besar sama dirakam dengan berbeza masa selama beberapa minit dan dua saman dirakam dalam tempoh 60 saat.
Pendek kata, setiap kamera perangkap laju di jalan berkenaan berjaya merakam kesalahan gambar jentera mewah bernilai 1.3 AED (kira-kira RM1.44 juta).
Pemilik syarikat kereta sewa itu menerima notifikasi kesalahan itu antara pukul 2.31 pagi hingga 6.26 pagi pada 31 Julai lalu, iaitu sehari selepas pelancong itu menyewa kereta tersebut.
Kini timbul masalah. Ada pertikaian berhubung siapa perlu bayar saman itu.
"Kami tidak boleh bayar jumlah sebegini jika kereta itu disita (polis)," kata seorang rakan perniagaan syarikat kereta sewa itu.
"Ia (kereta) masih dengan pelancong itu, dan diparkir di hotel (tempat dia menginap). Saya tidak akan cuba mengambil balik (kereta itu) kerana jika saya berbuat demikian, saya perlu menyerahkan (kereta) kepada polis.
"Dan siapa akan bayar wang untuk mengimpaun (kos disimpan dalam gudang polis)? Kami tidak akan berbuat demikian. Itu kesalahan dia (pelancong) dan dia harus bayar jumlah itu."
Pelancong boleh meninggalkan negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) walaupun mengumpul saman beribu-ribu dirham (AED) kerana saman trafik hanya dikeluarkan ke atas nama pemilik kenderaan.

Dalam kes ini, saman sudah pasti dikeluarkan atas syarikat kereta sewa itu. Pihak syarikat kereta itu sudah menghubungi Kedutaan Britain mengenai perkara itu.
"Saya bimbang dia mungkin ke kedutaan dan melaporkan kehilangan paspot. Dan akan terima pasport baharu lalu kembali ke negaranya," tambah wakil syarikat itu.
Kini, kereta Lamborghini Huracan itu dikatakan berada di lot parkir valet hotel dan sedang mengumpul habuk dan pasir selepas seminggu dibiarkan di situ.
Pelancong itu ada kemungkinan terpaksa melanjutkan 'percutian' di Dubai walaupun hari-hari bercutinya telah tamat pada Rabu lepas.
Apa rasionalnya menyewa sebuah kereta sport mewah kepada seorang yang berusia 25 tahun dari negara lain untuk tempoh dua hari.
Adakah mereka terfikir penyewa semuda itu akan memandu dan bersiar-siar di jalan raya pada kelajuan 40-60km/j?
Sumber dan Kredit: thenational.ae / Mailonline