October 23, 2017 @ 07:50 AM
Seperti dimaklumkan sebelum ini, Yamaha sibuk melakukan persediaan membawa kereta konsep ke Pameran Motor Tokyo.
Namun, ia bukannya kali pertama pengeluar motosikal jenama Jepun itu berbuat demikian.
Memutarkan masa kembali kepada tahun 1992, Yamaha sebenarnya ada menayangkan sebuah kereta yang dinamakan sebagai OX99-11.

Jentera itu menggunakan enjin dari jentera Formula 1 iaitu aspirasi biasa (NA) 3.5 liter jenis konfigurasi V12.
Kotak gearnya adalah enam kelajuan manual, tetapi ditala untuk dikurangkan kuasanya.
Pusingan enjin seminit (RPM) OX99-11 adalah 10,000rpm di mana output maksimum adalah antara 400hp hingga 560hp. Berkuasa?

Jurutera Yamaha mengadun kepakaran mereka bagi memastikan jentera berkenaan kekal ringan dengan penggunaan dua material utama.
Casis kereta pula dihasilkan daripada gentian karbon dengan panel badan kereta dibina daripada aluminium. Berat kasar keseluruhannya mencecah 1,150 kilogram.
Untuk masuk ke dalamnya, pintu kacanya dibuka macam sebuah jet pejuang. Kerusi pemandu berada pada bahagian tengah, manakala penumpang berada sebaris di belakang.

Yamaha dalam rancangan asalnya mahu membina satu tempat duduk namun menggugurkan syarat itu.
Melihat pada angka prestasi, kereta OX99-11 ini dikatakan boleh cecah kelajuan sepantas 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoj 3.2 saat. Kelajuan maksimum didakwa mungkin 350km/j.
Hakikat sebenarnya, Yamaha OX99-11 bukan ciptaan 100 peratus Yamaha. Ia terhasil dengan bantuan sebuah syarikat Britain iaitu International Automotive Design (IAD).

Siapakah IAD? Mereka adalah firma yang terbabit dalam penghasilan model pertama Mazda MX-5 dan Autozam AZ-1.
Apa yang mengejutkan, sebanyak tiga unit Yamaha OX99-11 sudah dibina. Ada juga rancangan untuk mengeluarkan produk itu. Ura-ura harganya pada masa itu ialah AS$800,000 (RM3.38 juta). Sememangnya sesuatu yang mahal.
Rancangan itu terkubur. Apa sudah jadi? Ada khabar angin menyatakan Yamaha dan IAD ada percanggahan pendapat mengenai soal bajet.

Yamaha juga memutuskan untuk menyerahkan projek itu kepada sebuah syarikat yang terbabit dalam kejuruteraan F1 iaitu Ypsilon Technology.
‘Pukulan maut’ yang memusnahkan impian projek itu adalah disebabkan faktor kemelesatan ekonomi Jepun.
Yamaha berundur daripada menzahirkannya kerana takut tidak berupaya menjualnya.