December 23, 2016 @ 10:00 AM
Jika sebelum ini, Taiwan terpaksa mengimport model supercar Mono daripada Briggs Automotive Company (BAC) yang berpangkalan di Liverpool, England.
Kini, mereka tidak perlu berbuat demikian. Taiwan sudah ada pengedar rasminya, BAC Taiwan selepas memeterai perjanjian selama setahun dengan BAC.
Pengedar baharu itu akan diberikan lima unit Mono untuk dijual dalam tempoh 12 bulan.
BAC Taiwan akan menjual Mono di dua lokasi iaitu bandar Taipei dan Kaohsiung, di mana kedua-duanya terletak berhampiran Litar Antarabangsa Penbay.

Mono adalah kereta untuk kegunaan trek sahaja, mudah mendapat tempat dalam hati pengguna di Taiwan kerana rakyat di negara itu dikatakan memiliki sejarah sukan bermotor menarik.
BAC Taiwan dilancarkan sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan semula kontrak BAC selama dua tahun untuk zon Asia Tenggara. Kontrak itu membabitkan Hong Kong, China dan Taiwan.
Sebelum ini, BAC Hong Kong yang memulakan pengedaran pada tahun lalu bertanggungjawab untuk menjual Mono di pasaran Hong Kong dan China (termasuk Taiwan).
Kontrak mereka turut dilanjutkan dengan tawaran masing-masing sebanyak 12 unit Mono (Hong Kong) dan 24 kereta (China) sehingga akhir tahun 2018.

Sewaktu perasmian BAC Hong Kong, mereka berjaya menjual lapan Mono pada hari pertama pembukaan iaitu pada 27 November 2015.
Mereka dibekalkan model Mono tahun 2016 yang menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder yang berupaya menjana kuasa setinggi 305bhp. Kereta seberat 580 kilogram itu turut disertakan ciri drive-by-wire throttle dan program tempahan gayaan khas.
BAC Hong Kong dibuka beberapa bulan selepas perasmian BAC Japan di Jepun.