January 11, 2017 @ 09:04 AM
Honda memberi penghormatan terakhir kepada model Civic Type R sedia ada menerusi pengenalan varian Black Edition.
Civic Type R Black Edition merupakan edisi terhad. Hanya 100 unit sahaja dihasilkan akan ditawarkan kepada mereka yang bertuah.
Honda optimis varian itu akan menarik perhatian pengumpul-pengumpul kereta.

Berdasarkan maklumat diterima, unit kereta berprestasi jenama Jepun itu bakal menemui pengedar dan penjual dalam masa terdekat.
Civic Type R Black Edition didatangkan bersama rekaan ruang kabin yang didominasi dengan warna hitam.
Solekan tona merah dilakukan untuk menyerlahkan rasa premium. Selain itu, rekaan aspek luaran menyaksikan padanan spoiler besar berwarna merah dan hitam.

Honda Civic Type R menggunakan enjin paling berkuasa yang pernah dihasilkan setakat ini.
Enjin petrol pancitan terus 2.0 liter VTEC Turbo mampu menjana kuasa 310PS pada 6,500 rpm dan tork setinggi 400 Nm @ 2,500rpm.
Harga varian itu menyamai model GT sebelum ini, iaitu £32,300 (RM176,164) harga atas jalan dan Honda menjangkakan Civic Type R Black Edition akan laris dalam sekelip mata.

Buat masa ini, pengeluaran Civic Type R telah dihentikan di kilang Honda dekat Swindon, United Kingdom.
Fasiliti pengeluaran itu sedang menunggu masa untuk memulakan produksi generasi baharu Civic yang akan dijual seawal Mac ini.
Generasi baharu Civic Type R pula dijangka tiba pada pertengahan tahun ini.
