July 18, 2018 @ 02:46 PM

Buat julung kalinya, sebanyak lima generasi model Toyota Supra berjaya dihimpunkan di bawah satu bumbung.
Himpunan yang diadakan itu adalah pertama kali dilakukan di dunia dan ia bukan di Jepun, tetapi di Sussex di United Kingdom (UK). Lebih tepat pada acara Goodwood Festival of Speed 2018.

Toyota menjemput satu kumpulan peminat Supra untuk acara petang bersama Tetsuya Tada, iaitu ketua jurutera bagi A90 Supra baharu.
Semua pemilik membabitkan empat generasi model Toyota Supra diberikan penerangan eksklusif kepada model prototaip generasi kelima yang disaluti pelekat penyamaran.
Acara Goodwood Festival of Speed 2018 menjadi lokasi debut dunia pertama model generasi Supra ke-5.

Sebahagian besar daripada 84 pemilik dan tetamu hadir pada pertemuan itu dengan memandu Supra generasi keempat iaitu versi spesifikasi UK dengan kotak gear manual yang lazimnya diburu peminat.
Hadir bersama ialah lapan model generasi ketiga Supra termasuk versi asli dan model naik taraf. Empat unit kereta generasi kedua dan satu model generasi pertama iaitu Celica Supra. Di UK, ada dua unit Celica Supra yang masih wujud.

Tada tidak melepaskan peluang berbincang dan berkongsi maklumat bersama kumpulan peminat tegar Supra itu, selain menerima pandangan pemilik berhubung jentera mereka.
Supra A90 generasi kelima dijangka memasuki pasaran pada pertengahan tahun pertama 2019.
