October 01, 2018 @ 04:36 PM

Firma talaan kenderaan di Amerika Syarikat, Hennessey Performance muncul dengan satu tawaran model edisi terhad berupa sebuah trak pikap pacuan enam roda (6x6).
Secara asasnya, syarikat itu mengambil sebuah model pikap standard Chevrolet Silverado Trail Boss dan menjenamakan semula ia sebagai Goliath 6x6.
Kenderaan raksasa ini boleh pecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 4.5 saat hasil talaan dan pakej luar biasa.
Chevrolet Silverado ini mampu menjana kuasa sebanyak 430hp menerusi enjin 6.2 liter V8 tetapi mekanik syarikat itu memasang kit HPE700,sekali gus menyaksikan kuasa melonjak kepada 705hp.

Tetapi kalau ada wang lebih, anda boleh naikkan pakej agar enjin itu memuntahkan kuasa sehingga 810hp. Ini membolehkan ia pecut 0-100km/j dalam 4.5 saat. Macam kereta sport.
Trak itu menerima set gandar ketiga dan sistem suspensi dinaik ketinggiannya sebanyak 8 inci. Rim yang digunakan adalah sebesar 20 inci dan dibalut tayar 37 inci BF Goodrich.
Goliath 6x6 juga menerima kit badan baharu beserta set lampu LED. Ada juga pelekat grafik pada badannya. Hanya 24 unit pikap ini akan dibina.
Harga trak raksasa ini bermula serendah AS$375,000 dan pelanggan akan menerima jaminan selama tiga tahun.