January 26, 2018 @ 04:35 PM

Kombinasi dua kenderaan menjadi satu bukannya perkara baru dalam industri automotif. Bagaimanapun, perlu diakui, produk berkenaan sukar mendapat tempat dalam pasaran.
Sebuah syarikat kini nampaknya mencuba nasib menarik perhatian pasaran apabila menampil sebuah produk skuter yang mampu menjadi jet ski. Ibarat kuda masuk air jadi kuda laut.

Firma itu, Gibbs muncul dengan produk bernama Biski yang mana transformasi kenderan darat menjadi jentera laut boleh dilakukan dengan hanya menekan butang.
Rekaannya tidak menarik perhatian disebabkan bentuk badan bersaiz besar seolah-olah sebuah skuter bagger.

Skuter dua alam ini menggunakan enjin petrol dua silinder yang boleh menjana kuasa 55hp. Ia dipasang saiz tangki minyak seluas 20 liter.
Menurut Gibbs, skuter ini boleh memecut selaju 129 kilometer sejam (km/j) atas darat dan apabila memsuki air, ia boleh dipacu sepantas 60km/j. Pastinya seronok bermain air banjir dengan Biski.

Biski menggunakan brek hidraulik dan sistem suspensi belakang boleh digerakkan. Ia masih menggunakan bar hendal dan bukannya stereng bot laju.
Sistem ekzos yang digunakan mempunyai empat batang paip. Dua terdedah dibelakang skuter manakala sepasang lagi menghala ke bawah untuk kegunaan atas permukaan air.

Tiada maklumat mengenai harganya. Adakah anda berminat membelinya jika masuk Malaysia?
Mungkin boleh jadi alternatif untuk meredah banjir-banjir kilat yang kerap berlaku di bandar-bandar utama negara ini.