December 07, 2016 @ 05:20 PM
Pengeluar kereta sport Belanda, Donkervoort mempertaruhkan model baharu menerusi D8 GTO-RS yang hanya ditawarkan pada edisi terhad.
Ia menyalurkan prestasi luar biasa selepas menggunakan enjin Audi 2.5L R5 TFSI yang dinaik taraf untuk menghasilkan lebih tork serta memberi kuasa pecutan terbaik berbanding sebelum ini, selain mematuhi piawaian emisi EU6.
Berdasarkan model D8 GTO sebelum ini, ia mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 2.8 saat. Di jangka D8 GTO-RS mungkin lebih pantas daripada D8 GTO.
Bagi meningkatkan aerodinamik kereta empat roda terbuka itu boleh dikatakan 'mencabar'. Namun, Donkervoort berjaya meningkatkan ‘downforce’ dengan menghasilkan reka bentuk hadapan baharu serta padanan pelbagai spoiler kecil.
Ia menyumbang kepada ‘downforce’ tidak kurang daripada 50 kilogram (kg) pada gandar depan, manakala belakang mencecah 50 kg.

Malah, kadar rintangan angin dikurangkan 20 peratus berbanding model D8 GTO sekali gus lebih aerodinamik dan pada masa sama memberi kestabilan serta meningkatkan kelajuan.
Kini hanya tinggal 23 unit sahaja selepas 42 daripadanya sudah dijual kepada pelanggan. Tempahan pertama kenderaan itu akan dihantar penghujung tahun ini. Bagi yang membuat tempahan pada tahun ini, kenderaan mereka akan dihantar Januari 2018.
Jentera itu dijual pada harga €151,173 (RM717,364.45) tidak termasuk cukai.