May 26, 2018 @ 11:55 AM

Tahun ini adalah ulang tahun ke-40 bagi jenama Donkervoort, iaitu sebuah syarikat pengeluaran kereta Belanda selepas firma itu ditubuhkan pada 1978 oleh Joop Donkervoort.
Bagi meraikan hari jadi jenama itu, pihak syarikat mencipta satu model istimewa yang dinamakan sebagai Donkervoort D8 GTO-40.

Melihat pada namanya, anda sudah pasti meneka ia berasal dari model Donkervoort D8 GTO. Apakah kaitannya dengan angka 40?
Ia menggambarkan tempoh usia jenama itu dan jumlah unit jentera istimewa yang dibina oleh pihak Donkervoort.

Jentera ini ada keistimewaannya iaitu lebih ringan disebabkan penggunaan kerangka tegar dan beberapa komponen karbon sehingga beratnya hanya 678 kilogram.
Enjin yang digunakan ialah jenis Audi 2.5 liter seperti yang terdapat pada model Audi RS 3 dan TT RS. Ia boleh menjana 380hp.

Donkervoort D8 GTO-40 mampu memecut dari titik pegun ke 200 kilometer sejam dalam masa 7.7 saat.
Setakat ini, 20 unit diperuntukkan kepada pengikut setia jenama berkenaan. Ada 20 unit lagi untuk orang awam. Harganya ialah 159,600 Euro (anggaran RM748,000).