June 14, 2018 @ 09:48 AM

Seorang peminat automatif membayar harga sebanyak AS$226,240 (anggaran RM901,915) untuk membeli sebuah kereta De Tomaso Pantera GT5-S buatan tahun 1987 pada acara lelongan pada 3 Jun lalu.
Cumanya, kereta berwarna putih dengan dua pintu yang dibeli itu tidak mempunyai enjin dan kotak gear.

Lelongan itu dikendalikan syarikat Bonhams menerusi acara Greenwich Concours d'Elegance di Connecticut.
Kereta ini agak istimewa kerana ia pernah dimiliki oleh pelumba legenda Amerika Syarikat yang kemudiannya menjadi pakar talaan, Carroll Shelby.

Beliau bersama pasukannya mengeluarkan enjin asal Ford V8 untuk menggunakan kereta itu sebagai prototaip penghasilan jentera pertama Dodge Viper.
Mereka melakukan uji kaji pada Pantera GT5-S dengan menggunakan pelbagai jenis enjin, kotak gear dan sistem suspensi.

Carroll Shelby pula berusaha untuk menyelitkan enjin turbo berkembar 360ci V8 ke dalam Viper. Tetapi akhirnya, Chrysler memutuskan untuk menggunakan rangkaian kuasa V10 baharu pada Viper.
Jadi, pembeli kereta itu sudah memiliki GT5-S yang pernah dimiliki serta menjadi uji kaji Carroll Shelby.
Soalnya sekarang, dia mahu sarung enjin apa? Ferrari 4.5 litre V8?