May 12, 2018 @ 09:48 AM

Setelah sekian lama, akhirnya jenama kereta lumba Brabham kembali semula kepada landskap automotif.
Sebagai permulaan, syarikat Brabham Automotive akan membina 70 unit Brabham BT62 dan setiap satu bernilai £1.2 juta (RM6.4 juta).

Ini sebuah jentera kegunaan litar yang akan dibina di kawasan utara bandar Adelaide, Australia. Debutnya pula dilakukan di London baru-baru ini.
Pengasas Brabham, mendiang Jack Brabham dari Australia pernah memenangi tiga kejuaraan dunia F1 (1959, 1960 dan 1966). Pada ketika itu, beliau memandu jentera Brabham.

Kini, projek Brabham BT62 dipantau oleh seorang daripada anaknya, David.
Brabham BT62 akan menggunakan enjin aspirasi biasa 5.4 liter V8 yang mampu menjana kuasa sebanyak 710hp dan tork setinggi 667Nm.

Apa yang signifikannya ialah jentera ini boleh menjana kuasa downforce sekuat 1,200 kilogram (kg). Beratnya sekadar 972kg hasil penggunaan material gentian karbon.
Jika pembeli mahu, mereka boleh menambah satu kerusi penumpang untuk membawa penumpang.

Brabham BT62 ini dipasang stereng mirip F1 dan anda boleh memilih material gentian karbon atau alcantara untuk membaluti papan pemuka.