September 13, 2018 @ 12:50 PM

BMW Motorrad mempertontonkan model konsep BMW G 310 RR pada acara Hari BMW Motorrad di Jepun baru-baru ini.
Kehadiran model konsep berkenaan menjadikan ia sebuah model superbike paling kecil dalam rangkaian keluarga pengeluar jentera dua roda dari Jerman itu.
BMW G 310 RR membawa rekaan sportbike BMW yang sangat menawan selepas menggunakan platform daripada model BMW G 310 R iaitu jentera kategori naked.

Bagi jentera konsep itu, ia dilengkapi fairing tepi yang diperbuat daripada gentian karbon dan boleh dikatakan semua panel menggunakan material sama.
Pada bahagian hadapan, boleh kelihatan corong ambilan udara antara perumah lampu utama yang membuatkan tampak sebuah motosikal berprestasi.
Ciri yang paling menarik adalah sistem ekzos yang diletak pada bawah tempat duduk.

Difahamkan ia menggunakan enjin bersesaran 313cc silinder tunggal yang mampu menyalurkan 34bhp dengan tork setinggi 28Nm.
Buat masa ini, tiada apa-apa pendedahan sama ada jentera itu akan dikeluarkan untuk produksi atau tidak.
Jika dikeluarkan untuk produksi, sudah pasti ia tidak menggunakan komponen gentian karbon dan ditukar kepada material lain supaya harganya tidak terlalu mahal.