October 13, 2016 @ 04:05 PM

Generasi ketujuh BMW 5 Series baharu adalah model terbaik dalam kategori sedan premium dengan menampilkan karakter sporty dan elegan yang bakal dipasarkan pada Februari 2017.
Jentera yang dipertontonkan pada peringkat global baru-baru ini, akan mengikuti jejak generasi BMW 5 Series sebelum ini dengan jualan 7.6 juta pada peringkat global.
Bagi model baharu itu, ia menawarkan pemanduan yang menyeronokkan dan aerodinamik selepas menerapkan konsep reka bentuk BMW EfficientLightweight bagi mengurangkan berat kenderaan. Pengurangan berat itu dilakukan selepas menggunakan material aluminium dan keluli kekuatan tinggi yang didakwa mencecah sehingga 100 kilogram (kg).

Pengalaman pemanduan turut ditingkatkan dengan kombinasi kerangka rekaan baharu, pusat graviti yang rendah, ciri pengagihan berat bagi jentera sepanjang 4.935 meter.
Ia dilengkapi ciri terkini bantuan pemandu menerusi amaran trafik melintas dan bantuan tukar laluan dengan perlindungan aktif perlanggaran bahagian tepi.
Dimensinya lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding model sebelumnya, selain menyalurkan prestasi yang mantap selepas menerima kuasa daripada enjin baharu.

BMW 5 Series bakal ditawarkan pada Februari 2017 dengan enjin petrol dan diesel baharu dengan varian BMW 530i, BMW540i, BMW 520d serta BMW 530d.
Bagaimanapun empat varian lagi menyusul selepas Mac 2017 membabitkan BMW 530d/BMW 530d xDrive, BMW 530e iPerformance, BMW 520d EfficientDynamics Edition, BMW M550i xDrive.