October 17, 2017 @ 11:21 AM
Model terunggul convertible terbaru Aston Martin iaitu DB11 Volante diperkenalkan secara rasmi.
Tidak seperti DB11 coupe yang ditawarkan dengan pilihan enjin V8 dan V12, supercar dengan bumbung terbuka ini didatangkan dalam versi V8 sahaja.

Enjin dwi-turbo bersesaran 4.0-liter yang dibekalkan oleh AMG itu menghasilkan 510PS dan 675Nm tork puncak. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan limited slip differential (LSD) di gandar belakang.
Dari aspek prestasi, DB11 Volante memerlukan 4.1 saat (hanya 0.1 saat lebih perlahan berbanding DB11) untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j), selain mampu memecut sehingga 300 km/j.

Menggunakan platform aluminium yang sama dengan DB11, model ini mempunyai berat sebanyak 1,875 kg, lebih ringan berbanding model DB9 Volante. Ruang butnya juga 20 peratus lebih luas berbanding model terdahulu.
Bagaimanapun, penggunaan bumbung fabrik dan mekanisma berkaitan, ditambah dengan pengukuhan struktur menjadikan ia 115 kg lebih berat berbanding DB11.
Bumbung fabrik tersebut mempunyai lapan lapisan supaya penumpang tidak terdedah kepada pancaran matahari mahupun bunyi angin. Ia boleh dibuka dalam masa 14 saat dan ditutup dalam 16 saat dalam keadaan kereta bergerak sehingga 50 km/j.

Menurut Aston Martin, bumbung fabrik itu terbukti lasak apabila ia menempuhi 100,000 kitaran ujian di dalam kebuk cuaca yang mampu mensimulasikan penggunaan selama 10 tahun hanya dalam tempoh sebulan.
DB11 Volante akan memasuki pasaran bermula suku pertama 2018 dengan harga bermula dari £159,900 (RM896,517)