July 31, 2018 @ 03:30 PM
Sebahagian besar daripada kita lebih mengenali nama negara-negara seperti Jerman, Itali, Perancis, Korea dan Jepun selaku pengeluar kenderaan di dunia.
Namun, sedarkah kita, Sepanyol juga sebuah negara yang perlu diberi penghormatan dengan peranannya dalam industri automotif dunia.
Di sana, mereka ada kilang-kilang pelbagai jenama yang menghasilkan 30 model berbeza dan volum pengeluarannya hampir 3 juta unit setahun.
Kira-kira 84 peratus daripada 3 juta kenderaan itu kemudiannya dieksport semula ke pasaran-pasaran negara lain.
Antara model popular yang dipasang di Sepanyol sudah semestinya Volkswagen Polo, Renault Megane, Opel Crossland X dan SEAT Arona.
Selain sibuk mengeluarkan kenderaan jenama lain, Sepanyol juga memiliki produk buatan sendiri, supercar termasuk prototaip yang terbukti agak signifikan.
Ini antara model yang mungkin tidak diketahui ramai:

1. Boreas 2018
Supercar Sepanyol ini mengambil nama daripada Dewa Angin Utara Greek dan ia pernah muncul di 24 Hours of Le Mans.
Jentera ini boleh pecut ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.8 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 380m/j. Ia menggunakan rangkaian kuasa hibrid yang menjana 1,000hp dan menggunakan kotak gear automatik tujuh kelajuan. Hanya 12 unit akan dibina.

2. Bultaco Lynx
Sejenis kenderaan dua tempat duduk dan memiliki berat 800 kilogram. Ia dilengkapi enjin petrol turbo 2.0 TSI yang menjana 400hp. Transmisi automatiknya adalah DSG dan anda boleh pecut ke 100km dengan masa 3.7 saat yang mana kelajuan maksimum 280km/j. Bagaimanapun, ia masih berstatus prototaip.

3. Hurtan Author
Bukan suatu kereta idaman anak orang berada, tetapi sesuai untuk golongan berusia yang banyak duit. Ia hadir karakter klasik tetapi dengan teknologi termaju. Enjin terakhir digunakan ialah 2.4 liter jenis petrol.

4. GTA Spano
Model GTA Spano ini pernah dipertontonkan di Pameran Motor Geneva 2015. Ia sebuah supercar dengan kerangka monokok berasaskan gentian karbon, titanium dan kevlar.
Enjinnya jenis petrol, 7.10 liter turbo berkembar V10 dengan kuasa 925hp dan tork sekuat 1,200Nm. Anda boleh pecut hingga 100km/j dalam masa 2.9 saat. Ia boleh mencapai kelajuan lebih 370km/j.
Enjin ada satu sistem kawalan yang boleh mengurangkan kuasa kepada 425hp, jika anda mahu memandu secara santai.

5. Taurus V8 Spider
Ini model pertama Tauro Sport Auto yang berpangkalan di Valladolid dan membuat kemunculan 8 tahun lalu.
Roadster ini dibangunkan daripada casis Pontiac Solstice dan menggunakan enjin 6.2 liter V8 yang menghasilkan 440hp iaitu enjin Chevrolet Corvette. Ia boleh pecut ke 100km/j dalam masa 4 saat.

6. Tramontana
Kereta ini dibina syarikat di Barcelona dan rupanya mengambil inspirasi jentera lumba Formula Satu dan jet pejuang.
Jentera dua tempat duduk ini tanpa cermin hadapan adalah sebera 1,300kg dan menggunakan enjin 5.5 V12 dengan janaan kuasa 888hp. Boleh pecut ke 100km/j dengan masa 3.2 saat dan mampu memecut melebih 350km/j.